PENGENALAN
Ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah proses mental yang aktif untuk mendapatkan, menyimpan, mengingat dan menggunakan ilmu. Fokus kajian ahli psikologi kognitif ialah terhadap proses aktif minda individu untuk memahami persekitarannya. Cara individu berfikir tentang situasi, termasuk kepercayaannya, jangkaannya dan perasaannya, mempengaruhi fakta yang individu pelajari dan cara dia belajar. Ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa ilmu pengetahuan yang diperoleh adalah hasil pembelajaran dan kuasa ilmu yang mendorong seseorang belajar (Woolfolk,1998).
Anderson et al. (dalam Woolfolk, 1998) menyatakan bahawa:
“Instead of being passively influenced by environment events, people actively choose, practice, pay attention, ignore, reflect and make many other decisions as they pursue goals. Older cognitive views emphasized the acquisition of knowledge, but newer ap- proaches stress its construction”.
Ini bermakna manusia secara aktif memilih, mengamal, memberi perhatian, menghindar, merenung kembali dan membuat banyak keputusan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam persekitaran bagi mencapai matlamat mereka. Begitu juga, Slavin (1997) menyatakan pembelajaran adalah proses aktif minda yang berfokus kepada maklumat penting, menapis maklumat tidak penting dan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat pemilihan. Untuk memahami pembelajaran dari perspektif kognitif dengan lebih mendalam, bahagian berikut menjelaskan tentang psikologi gestalt, eksperimen Kohler dan model pemprosesan maklumat.
No comments:
Post a Comment